HARI TELEKOMUNIKASI DAN MASYARAKAT BERMAKLUMAT SEDUNIA  

Isnin, 18 Mei 2009

Setiap hari Ahad minggu ke dua dalam bulan Mei, kita akan menyambut Hari Ibu. Kalau 16 Mei pula, akan adanya sambutan Hari Guru untuk semua warga pendidik. Apa pula sambutan pada 17 Mei? Pada 17 Mei merupakan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia. Jadi, bersama-samalah kita meraikan sumbangan internet yang telah banyak merubah dan mencorakkan hidup kita dengan menghubungkan kita kepada dunia.

Tema Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia pada tahun ini ialah ”Melindungi Anak-anak di Alam Siber”. Internet merupakan satu medium yang membolehkan kita menerokai dunia di hujung jari. Namun kita perlu sentiasa berwaspada terhadap bahaya yang terselindung di sebalik internet. Bersesuaian dengan tema pada tahun ini, pengawasan daripada ibu bapa amat perlu bagi menjamin maklumat yang dicapai oleh anak-anak adalah selamat.

Antara bahaya dan ancaman siber terhadap anak-anak ialah :
- Pembuli siber
- Pornografi
- Keganasan
- Kebencian dan prejudis perkauman
- Ketagihan permainan dalam talian
- Penipuan dalam talian

Cara melindungi keselamatan kanak-kanak:
Ketahui tabiat dalam talian anak-anak (laman web yang mereka lawati dan aktiviti mereka di internet, dan siapa rakan-rakan mereka di internet).

Prihatin terhadap sebarang perubahan mendadak anak-anak.

Mewujudkan persefahaman antara ibu bapa dan anak-anak supaya anak-anak dapat berkongsi sebarang masalah yang dihadapi.

Menasihati anak-anak agar tidak mendedahkan maklumat peribadi di internet.

Meletakkan komputer di tempat yang terbuka supaya ibu bapa mudah untuk memantau aktiviti anak-anak.

Pantau masa yang diluangkan oleh anak-anak untuk melayari internet.

Memasang perisian penapis internet pada komputer anda.

Sama-samalah kita menjaga dan memantau kegiatan anak-anak kita supaya mereka tidak terdedah kepada ancaman dunia siber. Keprihatinan ibu bapa dapat menjamin keselamatan anak-anak dalam mengguna kemudahan internet. Internet membuka minda kita kepada dunia tanpa sempadan. Jadi, gunakanlah intenet ke arah yang positif.

(Sumber : Metro Ahad – 17 Mei 2009)

AddThis Social Bookmark Button