BULAN BAHASA MELAYU  

Isnin, 18 Mei 2009

Bulan Bahasa Melayu anjuran Panitia Bahasa Melayu SK Gedok telah diadakan sepanjang Bulan Mac bermula 02 Mac 2009 hingga 31 Mac 2009. Majlis perasmian Bulan Bahasa Melayu ini telah diadakan pada 02 Mac 2009 dan disempurnakan oleh Tuan Guru Besar SK Gedok, En. Moktar bin Nyot. Tema Bulan Bahasa Melayu SK Gedok pada tahun ini ialah “Bersama Memartabatkan Bahasa Melayu”.

Bulan Bahasa Melayu ini merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan mengikut takwim panitia Bahasa Melayu SK Gedok. Antara objektif diadakan Bulan Bahasa Melayu ini ialah supaya murid lebih menghargai dan sedar akan kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Selain itu, melalui Bulan Bahasa Melayu ini juga diharapkan murid dapat menguasai Bahasa Melayu dengan lebih baik. Murid-murid juga diharapkan dapat mengetahui pelbagai genre sastera yang terdapat dalam Bahasa Melayu.

Terdapat pelbagai aktiviti telah dirancang untuk dijalankan sepanjang Bulan Bahasa Melayu ini. Keprihatinan dan kerjasama daripada pihak pentadbir dan semua guru SK Gedok telah dapat menjayakan semua aktiviti yang dirancang dijalankan dengan lancar dan baik. Antara aktiviti yang dijalankan ialah :-
- Pertandingan Kuiz Tatabahasa (Tahap 2)
- Pertandingan Ejaan (Tahap 1 dan Tahap 2)
- Pertandingan Teka Silang Kata (Tahap 2)
- Pertandingan Mencipta Perkataan (Tahap 2)
- Pertandingan Deklamasi Sajak (Tahap 2)
- Pertandingan Syair (Tahap 2)
- Pertandingan Mengarang (Tahap 2)
- Pertandingan Tulisan Cantik (Tahap 1)
- Pertandingan Tulisan Berangkai (Tahap 2)
- Pertandingan Mewarna (Tahap 1)
- Pertandingan Melukis Poster (Tahap 2)
- Pertandingan Slogan Paling Kreatif (Tahap)



Kesemua aktiviti yang dijalankan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada murid-murid SK Gedok. Semua pemenang dalam setiap pertandingan yang dijalankan menerima hadiah pada majlis penutupan Bulan Bahasa Melayu yang telah diadakan pada 6 April 2009.


Panitia Bahasa Melayu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbir dan guru-guru SK Gedok kerana kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program-program yang dijalankan sepanjang Bulan Bahasa Melayu. Panitia Bahasa Melayu juga mengucapkan terima kasih kepada semua murid yang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dianjurkan.





AddThis Social Bookmark Button


HARI TELEKOMUNIKASI DAN MASYARAKAT BERMAKLUMAT SEDUNIA  

Setiap hari Ahad minggu ke dua dalam bulan Mei, kita akan menyambut Hari Ibu. Kalau 16 Mei pula, akan adanya sambutan Hari Guru untuk semua warga pendidik. Apa pula sambutan pada 17 Mei? Pada 17 Mei merupakan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia. Jadi, bersama-samalah kita meraikan sumbangan internet yang telah banyak merubah dan mencorakkan hidup kita dengan menghubungkan kita kepada dunia.

Tema Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia pada tahun ini ialah ”Melindungi Anak-anak di Alam Siber”. Internet merupakan satu medium yang membolehkan kita menerokai dunia di hujung jari. Namun kita perlu sentiasa berwaspada terhadap bahaya yang terselindung di sebalik internet. Bersesuaian dengan tema pada tahun ini, pengawasan daripada ibu bapa amat perlu bagi menjamin maklumat yang dicapai oleh anak-anak adalah selamat.

Antara bahaya dan ancaman siber terhadap anak-anak ialah :
- Pembuli siber
- Pornografi
- Keganasan
- Kebencian dan prejudis perkauman
- Ketagihan permainan dalam talian
- Penipuan dalam talian

Cara melindungi keselamatan kanak-kanak:
Ketahui tabiat dalam talian anak-anak (laman web yang mereka lawati dan aktiviti mereka di internet, dan siapa rakan-rakan mereka di internet).

Prihatin terhadap sebarang perubahan mendadak anak-anak.

Mewujudkan persefahaman antara ibu bapa dan anak-anak supaya anak-anak dapat berkongsi sebarang masalah yang dihadapi.

Menasihati anak-anak agar tidak mendedahkan maklumat peribadi di internet.

Meletakkan komputer di tempat yang terbuka supaya ibu bapa mudah untuk memantau aktiviti anak-anak.

Pantau masa yang diluangkan oleh anak-anak untuk melayari internet.

Memasang perisian penapis internet pada komputer anda.

Sama-samalah kita menjaga dan memantau kegiatan anak-anak kita supaya mereka tidak terdedah kepada ancaman dunia siber. Keprihatinan ibu bapa dapat menjamin keselamatan anak-anak dalam mengguna kemudahan internet. Internet membuka minda kita kepada dunia tanpa sempadan. Jadi, gunakanlah intenet ke arah yang positif.

(Sumber : Metro Ahad – 17 Mei 2009)

AddThis Social Bookmark Button


SEJARAH PSS  

Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Gedok Gemencheh N Sembilan telah ditubuhkan pada tahun 1913 iaitu semenjak tertubuhnya sekolah ini. Guru besar yang pertama bertugas di sekolah ini ialah En. Ab. Kadir bin Intan. Senarai Guru Besar dan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) yang pernah berkhidmat di sekolah ini ialah:

Tahun 1943 – 1947
Guru Besar : En Mohd Nor bin Pandak
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1947 – 1953
Guru Besar : En Mohd Salleh bin Hassan
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1953 – 1957
Guru Besar : En Johan bin Hassan
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1957 – 1958
Guru Besar :En Mansor bin Manaf
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1958 – 1962
Guru Besar : En Borhan bin Talib
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1962 – 1964
Guru Besar : En Ismail bin Amin
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1964 – 1970
Guru Besar : En En Alias bin Sitam
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1970 – 1971
Guru Besar : En Muhamad bin Abd Ghani
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1971 – 1982
Guru Besar : En Shamsuddin bin Maalin
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1982 – 1987
Guru Besar : En Zainuddin bin Madon
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1987 – 1992
Guru Besar : Pn Ismariah binti Ismail
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1992 – 1993
Guru Besar : Tn Hj Taha bin Abd Ghani
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1993 – 1994
Guru Besar : En Razali bin Saadan
GPM : Tidak diketahui

Tahun 1994 – 2000
Guru Besar : En Abdul Wahab bin Hj Ahmad
GPM : Cik Asmahwati binti Awang

Tahun 2000 – 2003
Guru Besar : En Kamaruddin bin Ismail
GPM : Pn Nurulhuda binti Hussan

Tahun 2003 – 2003
Guru Besar : Tn Hj Mohammad bin Abdullah
GPM : Pn Nurulhuda binti Hussan

Tahun 2003 – Mac 2007

Guru Besar : En Abu Hussin bin Abu
GPM : Pn Nurulhuda binti Hussan

Tahun (Jun 2007 hingga sekarang)
Guru Besar : En Moktar bin Nyot
GPM : Pn Siti Haida binti Mohd Zani


Sekolah Kebangsaan Gedok merupakan sebuah Sekolah Kurang Murid (SKM). Oleh sebab itu, ruangan dan bilik-bilik khas sangat terhad. Pusat Sumber Sekolah ini hanya sebesar sebuah kelas sahaja dan terpaksa berkongsi ruangan dengan bilik operasi buku teks, kedai buku dan bilik pemulihan. Walaupun terdapat banyak kekangan, hal ini tidak mematahkan semangat para guru dan murid menggunakan perkhidmatan PSS sekolah ini. PSS sekolah ini telah mula menampakkan perkembangan yang positif mengikut kemampuan dan tenaga kerjanya. Tambahan pula, bangunan baru telah pun siap dan sedang menunggu kelulusan dan penyerahannya sahaja yang mana di bangunan baru itu terdapat Pusat Sumber Sekolah yang lebih luas dan amat selesa untuk kegunaan seluruh warga sekolah.

Pada tahun 2005, Pusat Sumber Sekolah ini amat bertuah kerana menjadi pilihan pihak Petronas untuk Program Petronas Street Smart. Hal ini kerana dalam daerah Tampin hanya sekolah ini telah terpilih untuk Program Petronas Street Smart.

Pusat Sumber Sekolah ini memberikan perkhidmatannya secara capaian terbuka (Open Access). Oleh itu, ianya menjadi tanggungjawab bersama untuk menyusun, mengemaskini serta menjaga kebersihan bilik ini.

Pusat Sumber Sekolah ini turut mengalu-alukan pandangan serta komen yang membina supaya dapat membawa ke arah perkhidmatan yang lebih berkesan. Sekiranya pengguna menghadapi sebarang masalah, kemusykilan, kesulitan atau pertanyaan, sila berhubung dengan Penyelaras Pusat Sumber Sekolah selaras dengan motto PSS sekolah ini iaitu SEDIA BERKHIDMAT.

AddThis Social Bookmark Button