PENGENALAN  

Isnin, 27 April 2009

Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyebabkan banyak perubahan berlaku kepada pelbagai golongan masyarakat di dunia. Individu, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara mengalami perubahan-perubahan berteraskan penggunaan ICT. Perkembangan dalam penggunaan ICT adalah ke arah mewujudkan satu golongan masyarakat yang berteraskan maklumat atau informasi yang boleh bersaing pada peringkat global bagi menghadapi era globalisasi dan liberalisasi yang seringkali menjadi sebutan dan perbincangan umum pada masa kini.

Dalam mengharungi dunia yang semakin canggih, penggunaan ICT dalam pengurusan dan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan sepanjang hayat tidak dapat dinafikan kepentingannya. Kemahiran dalam bidang ICT ini sejajar dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu ke arah melahirkan insan yang seimbang dan harmonis bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dan berketerampilan serta berkembang secara global dan bersepadu supaya dapat memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemajuan negara.

Keupayaan individu menguasai kemahiran ini dapat membantunya mengharungi dunia ledakan maklumat yang semakin hari semakin pantas berlaku. Justeru, pihak kementerian pelajaran menjalankan usaha untuk memberi pendedahan tentang alam pengkomputeran dari peringkat awal lagi secara terancang dan bersistematik agar budaya pengkomputeran dapat dibina dalam suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih positif. Usaha ini dilakukan dengan memastikan semua sekolah di Malaysia dilengkapi dengan kemudahan ICT selengkapnya.

Berteraskan keyakinan bahawa penggunaan ICT dalam P&P membolehkan aktiviti P&P dijalankan tanpa kekangan, dapat meningkatkan penggunaan sumber pendidikan, P&P menjadi lebih menarik, berupaya meningkatkan kualiti pendidikan disamping mempercepatkan proses pendidikan. Dengan adanya Unit ICT SK Gedok, kemudahan yang telah disediakan ini dapat membantu guru dan murid untuk merealisasikan cita-cita dan impian mereka untuk meraih kejayaan yang cemerlang disamping melahirkan pelajar yang celik IT.

Unit Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) SK Gedok Gemencheh N Sembilan akan sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan agar segala objektif dan matlamat dapat direalisasikan.

AddThis Social Bookmark Button


0 ulasan: to “ PENGENALAN